Khamis, 2 Julai 2015

PENYAKIT WAS-WAS

PENYAKIT WAS-WAS atau OCD (Obsessive Compulsive Disorder) 


Perasaan ragu-ragu merupakan satu fenomena lazim melanda kebanyakan manusia. Individu yang diserang penyakit ragu-ragu ini selalunya  akan menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan harian. Bahayanya apabila ia bukan setakat menyukarkan seseorang menilai dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, malah pada satu tahap mengakibatkan hati tidak tenteram. Seringkali mereka yang dikuasai perasaan ini mengalami masalah dalam menentukan keseimbangan hidup seharian.  Bagi umat Islam pula ia mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadah saperti solat, kepercayaan kepada Allah swt.




Menurut perspektif Islam penyakit was-was (dalam bahasa Arab ‘waswasah’) iaitu bisikan yang tidak diundang dalam jiwa dan pemikiran.  Bisikan dalam hati atau pemikiran dilakukan oleh jin dan syaitan. Ada sejenis jin yang bernama Al-Maraddah yang bertugas hanya untuk membisik di hati dan mengganggu perasaan agar manusia ragu-ragu atas was-was. Jenis jin Al-Maraddah ini membisikkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal. Ia membuatkan suatu perasaan tidak sempurna dan menghilangkan keyakinan terhadap ibadat yang dilakukan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". - Surah An-Nas : 1-6


Gangguan was-was juga pernah menimpa salah seorang sahabat Rasulullah yang bernama Utsman bin Abil ‘Ash. Ia telah datang ke Rasulullah saw seraya mengadu kepadanya,
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam shalatku dan membuat bacaanku terganggu”, Rasulullah menjawab, :Itulah syaitan yang disebut dengan ‘Khinzib’. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah.’ Aku pun melakukan hal itu, dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” - HR. Muslim
Penyakit was-was boleh bertambah kronik sehingga ke peringkat di mana pesakit menjauhi daripada amalan ibadat dan meninggalkan ketaatan. Ada juga yang boleh sampai ke peringkat syirik kepada Allah kerana pesakit terlalu memikirkan perkara tersebut yang menjadikan pengidap jemu, bosan dan putus asa terhadap usaha ibadah.



Rawatan Moden Untuk Was-Was

Di dalam perubatan  moden, penyakit was-was lebih dikenali sebagai penyakit psikologi Obsessive Compulsive Disorder (OCD). OCD ialah penyakit mental akibat kerisauan. Ia mempunyai gaya pemikiran dan tingkah-laku yang bersifat memaksa. Dikatakan OCD berpunca daripada paras serotonin yang tidak normal di dalam otak. Serotonin berperanan mengawal perasaan kurang senang dan perkara-perkara yang menimbulkan gangguan.
OCD juga dikaitkan dengan kebimbangan melampau atau anxiety neurosis yang boleh menyebabkan suasana kecelaruan panik atau ‘panic disorder’ dan juga ‘phobia’ atau penyakit ketakutan yang keterlaluan. Ubat-ubatan moden untuk OCD kebiasaannya adalah ubat anti-SSRI yang berfungsi untuk mengembalikan kadar hormon serotonin di dalam otak kepada paras normal. Namun, ubatan moden banyak kesan sampingan yang negatif.



Jenis Was-Was

Was-was ada dua bahagian iaitu  was-was dalam ibadah  dan was-was dalam akidah.

Was-was Ibadah biasa pada perkara-perkara berikut;
  • Mengambil wudu' berulang-ulang kali seperti tiada kesudahan
  • Mengangkat takbirratulihram (niat) yang berulang-ulang dengan muka yang amat tertekan
  • Taharah (bersuci) terutama selepas membuang air kecil. Pesakit akan cuba membersihkan kemaluan dan setiap kali dia akan terasa seperti masih ada lagi najis yang terkeluar dan proses basuhan berlanjutan seperti tiada kesudahannya
  • Mandi hadas dengan basuhan berulang-ulang kerana tidak yakin dengan sahnya mandi hadas tersebut
  • Membaca basmalah dan Al-Fatihah dalam keadaan yang amat sukar serta berulang-ulang sebutan ayat-ayat tersebut
  • Ragu dan terlalu berhati hati dengan kebersihan tempat dan barangan.

Was-was akidah dari syaitan seperti berikut;
  • Memikirkan sesuatu yang batil (palsu) yang bersangkut dgn ketuhanan seperti timbul persoalan kewujudan tuhan
  • Memikirkan sesuatu  yang batil yang bersangkut dgn kenabian dan perkara-perkara yg ghaib
  • Memikirkan sangkaan buruk.


Bahaya Was-Was


Mengganggu aktiviti seharian.
  • Individu yang mengalami penyakit was-was biasanya akan menganggu aktiviti-aktiviti seharian. Ini adalah kerana setiap perbuatannya seringkali dilakukan berulang-ulang kali sehingga terpaksa menggunakan lebih masa dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Membuat hidup penderitanya tidak tenang
  • Apabila berlakunya situasi was-was ini, maka individu tersebut akan merasa tidak tenteram. Resah dan gelisah menghantui hidupnya kerana dirasakan setiap tindak tanduknya tidak sempurna. Akhirnya individu yang mengalami masalah ini akan menghadapi tekanan perasaan.

Mengganggu ketenteraman orang lain
  • Bagi mereka yang mengalami gangguan was-was ini terutama ketika melaksanakan solat secara berjemaah, selalunya akan mengganggu makmum-makmum yang lain. Sebagai contoh ketika mengangkat takbiratul ihram secara berungkali akan menyebabkan terganggu dan hilang tumpuan makmum yang lain memerhatikan gelagat si penghidap penyakit was-was ini.

Meninggalkan sunnah Rasul dan mengikuti was-was syaitan
  • Inilah yang ditakuti kerana apabila penyakit ini dihadapi oleh seseorang muslim. Sebagai contoh ketika mengambil wudhu’. Bagi pesakit mereka akan merasa ragu-ragu bahawa anggota wudhu’ telah dibasuh sebanyak tiga kali atau tidak? Sudah rata atau belum? Akhirnya mereka akan membasuh berkali-kali melebihi yang disunnahkan oleh rasulullah SAW. Malah penggunaan air yang berlebihan juga berlaku sedangkan ianya tidak dianjurkan dalam islam. Amalan membazir ini amat dilarang Allah hingga orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan. 
 "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" -Surah al-Isra': 27. 

Merosak akidah
  • Apabila was-was yang diderita seseorang itu adalah was-was dalam keimanan atau akidah, maka was-was tersebut akan menjadikannya keluar dari iman dan akidah yang benar. Inilah kesan yang paling membahayakan. Sehingga akan mengakibatkan seseorang yang menghadapi masalah ini meragukan ke-Esaan Allah SWT, meragukan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Bahkan akan meragukan bahwa hanya Allah lah sebagai tuhan yang berhak disembah selain membenarkan ajaran agama lain. Waiiyazubillah!

“Syaitan akan selalu mendatangi salah seorang dari kalian seraya bertanya, ‘Siapa yang menciptakan ini?’ ‘Siapa yang menciptakan ini?’ sampai pada pertanyaan: ‘Siapa yang menciptakan Allah?’ Barang siapa yang mendapati dalam dirinya pertanyaan tersebut, maka berlindunglah kepada Allah (membaca isti’adzah), dan hendaklah menghentikannya (mengakhirinya)’. “ (HR. Bukhari).

Cara-Cara Menentang Dan Merawat Was-Was


Bagi mengelak daripada perasaan was-was ini berlaku kepada diri, boleh mencuba amalan berikut:-

Lakukan apa yang diperintahkan oleh Allah tanpa memikirkan adakah ia diterima atau tidak, kerana Allah tidak membebankan sesuatu perkara ke atas seseorang melainkan apa yang mampu dilakukan oleh insan tersebut. Sematkan di dalam fikiran bahawa manusia hanya diperintahkan untuk melakukan ibadah dan bukannya diperintahkan untuk menentukan kesahihan setiap amal ibadah kita.


Apabila anda ragu-ragu tentang kesempurnaan wuduk atau terlupa untuk berniat. Fikirkanlah bahawa ini merupakan gangguan dari syaitan. Jangan ulangi kembali perkara yang telah dilakukan sebelum ini seperti selepas takbiratul ihram, membaca Al Fatihah, kemudian mula memikirkan  adakah ia sah atau tidak? Tinggalkan keraguan anda ini dan  terus sempurnakan sembahyang anda kerana apabila anda mentaati was-was ini, ia pasti akan bertambah sehingga menyusahkan.


Hendaklah orang yang ditimpa was-was sedar bahawa was-was yang menyerangnya adalah tanpa kehendaknya. Perasaan was-was ini sebenarnya langsung tidak memberi kesan kepada kebaikan dan ketakwaannya. Bahkan ia menunjukkan kepada kebenaran imannya. Kesedaran terhadap perkara ini adalah penting supaya dia tidak mempedulikan was-was tersebut.


Banyakkan berzikir dan berdoa kepada Allah kerana Dialah yang Maha Penyembuh. Doa antara perkara yang mujarab kerana doa akan memberikan kita ketenangan dan ketenteraman dalam hati. Allah mengajar kita sebagai manusia agar memohon perlindungan-Nya agar terpelihara daripada mudarat hasutan bisikan syaitan ini.
“Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. “ - Surah al-A’raaf: 200


PENUTUP

Kesimpulannya, bila seorang mukmin dan mukminah diuji dengan was-was, hendaknya bersungguh-sungguh meminta kesembuhan dan keselamatan kepada Allah SWT dari gangguan tersebut. Perbanyakkan “isti’adzah” kepada Allah SWT daripada gangguan syaitan yang membisikan perasaan was-was ini. Khusyuk dalam ibadah adalah satu kewajiban. Justeru, wajiblah bagi setiap muslim berusaha mengubati serta mengelakkan diri daripada perasaan was-was ini agar ibadah lebih sempurna. Wallahu a’lam.

Ahad, 3 November 2013

Aku bukan seorang pendakwah...

     Aku bukanlah seorang yang baik. Tapi aku yakin, manusia yang paling jahat di dunia ini, jauh di lubuk hatinya teringin nak menikmati kelazatan dan keindahan syurga. Termasuklah diri ku yang sering bergelumang dengan dosa dan kemungkaran.

     Aku yakin, jika dibandingkan diri ku dengan para pembaca blog ku ini, saudara-saudari pembaca blog adalah seorang yang jauh lebih baik dari diri ku. Coretan yang aku persembahkan di dalam blog ku ini hanyalah segelintir pengalaman ku untuk menebus kesalahan-kesalahan masa lalu sewaktu dosa dan kemungkaran menjadi hiasan hidup ku.